Search This Blog

Monday, December 10, 2012

Ketua Polis Perak: Tak pernah rampas telefon bimbit

Ketua Polis Perak: Tak pernah rampas telefon bimbit - Perak - Sinar Harian:
IPOH – Polis Perak menafikan kenyataan seorang jurujual wanita yang mendakwa telefon bimbitnya dirampas dan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) di dalam alat komunikasi berkenaan dilupuskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan dalam satu kenyataan semalam, menegaskan tindakan yang dilakukan oleh wanita berusia 32 tahun itu adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditugaskan untuk berjumpa wanita terbabit bagi membantu siasatan.

“Pada 29 November lalu, pegawai penyiasat terbabit berjumpa dengan wanita tersebut untuk merakam percakapan di sebuah balai polis di Sungai Siput.

“Bagaimanapun, dalam pertemuan itu, wanita terbabit enggan merakam percakapan malah tidak mahu menyerahkan telefon bimbit untuk membantu siasatan dengan alasan ingin merujuk kepada peguam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata,  pada 30 November  lalu, pegawai penyiasat berkenaan bertemu semula dengan wanita tersebut di IPK Perak bagi membuat rakaman percakapan selanjutnya.

Jelasnya, sekali lagi, wanita tersebut enggan  menyerahkan telefon bimbit kepada pegawai penyiasat terbabit atas alasan yang sama.

“Sejak hari itu, pegawai penyiasat terbabit beberapa kali berhubung dengan wanita tersebut supaya menyerahkan telefon bimbit untuk membantu siasatan, namun dia tidak memberi kerjasama.

“Dalam hal ini, adalah disahkan bahawa telefon bimbit kepunyaan wanita itu tidak pernah diserahkan kepada polis dan sehubungan itu, saya meminta supaya dia tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Mohd Shukri berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung kenyataan seorang wanita yang mendakwa dia menerima SMS berbaur lucah oleh seorang pegawai polis yang menyiasat kes cabul yang berlaku pada 2 September lalu.

Kenyataan tersebut dibuat di Pusat Perkhidmatan Adun Lobak, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment