Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Kes samun dan cedera doktor: 13 individu dicekup

Kes samun dan cedera doktor: 13 individu dicekup - Semasa - Sinar Harian:
SHAH ALAM - Polis memberkas 13 individu termasuk tiga wanita dalam dua serbuan awal hari ini, bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan seorang doktor di Damansara pada 5 Disember lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rusdi Md Isa berkata, 10 daripada mereka diberkas di sebuah kondominium di Jalan Pahang pada pukul 12.30 tengah malam, manakala tiga dicekup di Batu Caves kira-kira tiga jam kemudian.

Siasatan awal mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah membabitkan samun manakala enam positif dadah jenis ganja, katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya hasil tangkapan itu juga polis menemui semula telefon pintar milik doktor tersebut selain merampas beberapa barangan termasuk pedang samurai, komputer riba dan enam utas jam tangan dipercayai hasil samun.

Polis masih menyiasat kaitan tiga wanita berkenaan dengan kumpulan lelaki terbabit, katanya menambah suspek berusia antara 21 dan 24 tahun.

Dalam kejadian 5 Disember itu, dua lelaki menyamun telefon pintar milik doktor lelaki terbabit ketika meninggalkan sebuah kedai di Jalan PJU 8, Damansara.

Doktor itu kemudian bertindak mengejar suspek namun diserang dengan sebilah parang menyebabkan mangsa cedera di kepala.

Mengulas kes berbeza, Rusdi berkata, polis menahan seorang lelaki berumur 24 tahun di Segamat, Johor semalam berhubung kes bunuh seorang jurutera di Putra Perdana, Sepang pada 9 Disember.

Katanya lelaki itu diberkas susulan penemuan cap jarinya di rumah mangsa.    

Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kesalahan pecah rumah dan merupakan individu yang dikehendaki polis, katanya.

Dalam kejadian itu, Low Min Lee, 36, yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Cyberjaya, ditemui mati dengan kesan hentakan pada kepala oleh abangnya pada 6 petang.

Siasatan turut mendapati barangan berharga milik mangsa termasuk kereta jenis Toyota Vios berwarna perak bernombor pendaftaran BKG 2570, sebuah televisyen LCD, telefon bimbit dan dompet hilang.

Rusdi berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment