Search This Blog

Tuesday, December 4, 2012

Kereta mewah dibawa masuk ikut Singapura

Berita Harian | Kereta mewah dibawa masuk ikut Singapura:
Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan kereta mewah menggunakan permit palsu dikesan melalui Singapura bagi mengaburi kastam, sebelum mengedar kenderaan itu sekitar bandar raya ini. 

Yang Dipertua, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berkata jika kegiatan dilakukan melalui Pelabuhan Klang, pihak kastam mempunyai butiran lengkap setiap kenderaan dibawa masuk, malah turut dilengkapi peralatan khas bagi mengesan kesahihan permit import (AP) yang digunakan. 
Jika berlaku percanggahan maklumat pada borang pengisytiharan dengan rekod kastam, walaupun hanya membabitkan perbezaan nombor rujukan, kenderaan terbabit tidak akan dibenarkan dibawa masuk, seterusnya ditahan untuk tujuan siasatan, katanya. 


Beliau mengulas pendedahan BH mengenai kegiatan penyeludupan kenderaan mewah pelbagai jenis, termasuk Ferrari, Porsche dan Bentley menggunakan AP palsu melalui Pulau Langkawi, yang berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang dua minggu lalu. 

Difahamkan, 18 kenderaan mewah dirampas setakat ini melalui siri serbuan membabitkan premis menjual kenderaan import dan kediaman mewah milik kenamaan (VIP) sekitar ibu negara, bertindak atas maklumat risikan serta pemeriksaan dokumen kenderaan terbabit. 

Sehubungan itu, katanya, pembeli perlu merujuk kepada PEKEMA bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit yang boleh menyebabkan mereka kehilangan kenderaan dibeli dan dikenakan tindakan undang-undang. 

Pelbagai helah digunakan sindiket, dengan konco-konco mereka termasuk menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran untuk menarik perhatian pembeli. 
Sindiket boleh menawarkan potongan harga melampau kerana tidak perlu membayar cukai seperti pemilik sah AP, namun pembeli perlu tahu risiko bakal dihadapi mereka jika kenderaan itu dibeli menggunakan cara tidak sah, katanya yang juga Pengarah Urusan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd. 

Zainuddin juga tidak menolak kemungkinan kegiatan pemalsuan AP dan penyeludupan kenderaan mewah itu didalangi sindiket terancang yang mendapat bantuan sindiket antarabangsa di beberapa negara jiran. 

Selain itu, katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana ahlinya yang didapati bersekongkol dengan sindiket penyeludupan kenderaan mewah ke negara ini menggunakan AP palsu. 

Kita mempunyai rekod lengkap pemilikan AP, malah sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan permit berkenaan dan penyeludupan kenderaan mewah yang dilaporkan, katanya. 
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment