Banjir
Wan Zulazrey Muhamad terpaksa meredah air banjir apabila kampungnya dinaiki air di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
banjir
Penduduk Taman Indera Mahkota Lapan, Kuantan menyelamatkan kucing jiran mereka selepas taman mereka dilanda banjir hari ini. - Foto Bernama
Banjir
Kelihatan air melimpahi jalan dan menenggelamkan beberapa buah kereta selepas banjir di bandar Kuantan hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kelantan dan Pahang mula dilanda banjir hari ini setelah hujan lebat monsun melanda wilayah Pantai Timur Semenanjung bermula dengan Terengganu semalam.
Johor juga masih dilanda banjir menyebabkan jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di keempat-empat negeri itu meningkat kepada 997 orang berbanding 430 orang pagi tadi.
Hujan lebat pagi tadi menyebabkan ibu negeri Pahang, Kuantan ditenggelami air sedalam 1.5 meter, yang merupakan kejadian terburuk sejak 2001.
Antara jalan yang ditenggelami air di kawasan itu ialah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Terminal Makmur.
Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu pula melaporkan jumlah mangsa banjir tertinggi ialah di negeri itu dengan 707 orang diikuti Pahang (440 orang), Kelantan (199 orang) dan Johor (16 orang).
Di Terengganu, enam dari tujuh daerah di negeri itu terbabit dengan bencana alam berkenaan kecuali daerah Kemaman dengan 18 pusat pemindahan sementara dibuka di daerah Dungun (7), Setiu (4), Besut (2) Hulu Terengganu (2), Marang (2) dan Kuala Terengganu (1).
Di Pahang, lapan pusat pemindahan dibuka iaitu enam di daerah Kuantan dan masing-masing satu di Pekan dan Rompin.
Di Kelantan pula, 10 pusat pemindahan dibuka di negeri itu termasuk tiga di Kota Baharu, satu di Machang dan masing-masing dua di jajahan Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Hanya satu pusat pemindahan dibuka di Batu Pahat, Johor.  - Bernama