Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Kanak-kanak enam tahun maut akibat denggi

Kanak-kanak enam tahun maut akibat denggi - Semasa - Sinar Harian:
PUTRAJAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia akibat demam denggi minggu lepas, menjadikan angka kematian akibat jangkitan itu 34 orang setakat 8 Dis lalu.
     
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata angka itu menyamai statistik tahun lepas bagi tempoh sama.
   
"Mangsa yang tidak sedar diri kerana mengalami demam kuat, muntah, cirit-birit, pendarahan pada hidung serta mulut telah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia setelah dua hari dirawat di ICU dengan sebab
kematian 'Dengue Shock Syndrome'," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
   
Menurutnya secara keseluruhan, kes demam denggi sepanjang tahun ini setakat 8 Dis lepas mencatatkan peningkatan 10 peratus kepada 20,387 kes berbanding 18,583 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
   
Bagi tempoh minggu lepas, sejumlah 467 kes dilaporkan berbanding 476 pada minggu sebelumnya, namun tujuh negeri mencatat peningkatan dengan Selangor merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 39 kes daripada 168 kepada 207 kes.
 
Turut mencatat peningkatan ialah Perak yang meningkat sembilan kes, Pulau Pinang (4 kes), Terengganu dan Kedah (masing-masing meningkat 3 kes) serta Negeri Sembilan dan Melaka yang meningkat satu kes masing-masing.
   
"Selangor merupakan negeri yang menunjukkan peningkatan kes sejak empat minggu kebelakangan ini. Selain itu, Selangor juga telah melaporkan Kadar Pembiakan Aedes (AI) yang tinggi iaitu 2.9 peratus, melebihi nilai sensitif satu peratus," katanya.
   
Dr Lokman berkata sejumlah 21 daerah berwabak dilaporkan minggu lepas berbanding 18 daerah pada minggu sebelumnya dengan 65 lokaliti wabak dilaporkan di sembilan negeri iaitu Selangor (32), Kuala Lumpur (11), Johor (8), Sarawak (5), Sabah (3), Perak dan Kedah (2) serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kelantan.
   
"Terdapat satu lokaliti wabak tidak terkawal dilaporkan iaitu di Jalan 8/1-15, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor yang mengalami wabak selama 23 hari dan telah melaporkan lima kes," katanya - Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment