Search This Blog

Friday, December 21, 2012

Kakitangan awam serah diri bantu siasat kes bunuh



MELAKA 20 Dis. - Seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di sini yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan di Merlimau kelmarin tampil menyerah diri hari ini.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 9.30 pagi dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja kedai tayar, Mohamad Fazrinnizam Ramli (gambar), 24.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis telah mengambil kenyataan lelaki berkenaan dan sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Lelaki yang menyerah diri ini merupakan rakan kepada mangsa dan polis percaya penahanan lelaki itu dapat membantu menyelesaikan kes tersebut," katanya dalam sidang akhbar di IPK negeri hari ini.
Kelmarin, Mohamad Fazrinnizam dihantar oleh dua lelaki ke sebuah poliklinik di Merlimau untuk menerima rawatan setelah ditemui dalam keadaan cedera di Kampung Merlimau Dalam.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di Hospital Melaka.
Menurut Raja Sharom, polis sedang mengesan tiga lagi lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun di mana dua daripada mereka merupakan individu yang menghantar mangsa menggunakan kereta ke poliklinik di Merlimau sebelum menghilangkan diri.
"Polis juga sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kes ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita namun motif dan punca sebenar pembunuhan masih disiasat," katanya.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyong 2 di sini dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di sebuah premis hingga cedera parah di kepala.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121221/je_04/Kakitangan-awam-serah-diri-bantu-siasat-kes-bunuh#ixzz2FhLWfUlz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment