Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Jasad ditemui hanyut 5km

myMetro | Jasad ditemui hanyut 5km:

KAJANG: Suasana sedih dan pilu menyelubungi keluarga dua remaja yang lemas di Sungai Langat, di sini sejak Rabu lalu sebaik mayat kedua-duanya ditemui, semalam.
Difahamkan, mayat Mohammad Syawal Azhari, 17, ditemui tersangkut di tebing sungai kira-kira jam 7.45 pagi oleh anggota bomba yang melakukan pemeriksaan permukaan sungai manakala mayat adiknya, Mohammad Tarmizi Azhari, 13, ditemui terapung oleh abang mangsa yang turut menjalankan gerakan mencari dan menyelamat, kira-kira 15 minit kemudian.

Mohammad Syawal ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka dipercayai hilang manakala Mohammad Tarmizi pula ditemui berhampiran loji pembersihan air iaitu lima kilometer dari lokasi sama.
Abang mangsa, Mohd Mustakim Azhari, 22, berkata, dia berada di lokasi kejadian sejak jam 7 pagi dan tidak henti-henti berdoa agar kedua-dua adiknya itu ditemui.

“Tidak ada erti penat atau putus asa melainkan terus berusaha mencari kedua-dua adik yang hilang kerana sudah tidak sanggup melihat ibu dan ayah terus bersedih.

“Saya berdoa agar sesuatu keajaiban akan berlaku hari ini (semalam) yang juga hari Jumaat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ariff Mohamed Kassim, berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sepenuhnya jam 9 pagi.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat selepas solat Asar.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment