Search This Blog

Wednesday, December 12, 2012

Harimau baham 11 lembu

Harimau baham 11 lembu - Terengganu - Sinar Harian:


Harimau baham 11 lembu
Kesan gigitan pada bangkai ternakan milik Abdullah


MARANG – Penduduk terutama penternak bimbang dengan keselamatan mereka apabila lapan lembu mati manakala tiga lagi gagal dikesan dipercayai dibaham harimau di Kampung Jambu Bongkok sejak November sehingga semalam.

Seorang penternak, Abdullah Mamat, 61, berkata, kemunculan harimau mula dikesan pada 15 November lalu setelah dia menemui bangkai tujuh lembu di kandang lembu miliknya di Jalan Felcra Bukit Kancil di kampung berkenaan.


“Saya sangka lembu mati angkara khianat tetapi selepas disiasat, saya lihat ada kesan gigitan di leher dan kesan calar pada bahagian badan bangkai lembu terbabit," katanya, semalam.

Rugi RM10,000

Abdullah berkata, , tiga lembunya yang lain masih hilang hingga kini dan tidak mustahil lembu itu juga menjadi mangsa harimau.


Menurutnya, berkemungkinan juga tiga bangkai lembu itu diheret ke dalam kawasan hutan berhampiran.

Selain kesan gigitan dan calar pada bangkai ternakannya, Abdullah juga mendakwa turut mengesan tapak kaki harimau yang jelas kelihatan di kawasan sekitar tempat kejadian.


“Kejadian mula berlaku pada 15 November lalu dan saya kerugian kira-kira RM10,000 apabila harimau mula mengganas dengan membaham tujuh lembu termasuk anak lembu daripada 60 ekor yang ditempatkan di dua kandang.


“Bagi mengelak lembu terus dibaham harimau, saya dan rakan membina pagar baru termasuk membuat laporan polis agar pihak berkenaan bertindak segera,” katanya.


Kandang roboh

Bagaimanapun, belum pun selesai pembinaan pagar baru, harimau terbabit membaham pula seekor anak lembu dan mencederakan seekor lembu dewasa milik seorang lagi penternak, Nik Mohamad Arif Nik Mohamad dalam
kejadian terbaru, Sabtu lalu.


Nik Mohamad berkata, kejadian itu hanya disedari apabila dia sampai di kawasan ternakan itu sekitar jam 8 pagi dan mendapati pagar kadang ternakannya roboh serta hanya terdapat dua lembu sahaja dalam kadang berkenaan.

“Seekor sudah mati dengan kesan gigitan di leher manakala seekor lagi cedera di kaki," katanya.

Menurutnya, lembu yang cedera itu bagaimanapun dapat dijual dengan harga murah iaitu RM700 berbanding harga pasaran melebihi RM1,000 bagi seekor lembu dewasa.

Katanya, sehingga kini, tiada maklumat ada penduduk cedera atau pernah bertembung dengan harimau yang dikatakan berjumlah lebih daripada seekor.

Bina perangkap

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian dan menggesa pihak berkenaan mengambil langkah segera membendung serangan haiwan liar itu.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah menghantar anggotanya bagi menjejak haiwan terbabit termasuk membina perangkap dalam kawasan hutan berhampiran kawasan ternakan lembu berkenaan.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment