Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Habis RM85,350, tiada jamuan

Kosmo! Online - Negara:


SAWIYA meninggalkan Mahkamah Sesyen Kuching semalam selepas didakwa melakukan pecah amanah.


KUCHING – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 22 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM85,350.
Sawiya Salim, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Alwi Abdul Wahab.
Sawiya didakwa menggunakan kad Sistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB) milik dua pegawai FNM iaitu Zainuddin Hamid dan Ghazali Yaman untuk membuat pembayaran berjumlah RM85,350 kepada Rahada Catering bagi tempahan makanan dan minuman yang sebenarnya tidak wujud.
Kesemua wang tersebut kemudian dipindahkan ke akaun bank miliknya tanpa ada apa-apa bekalan makanan atau minuman dibuat di pejabat FNM cawangan Sarawak.
Kesemua 22 pertuduhan tersebut didakwa dilakukan bermula dari tarikh 17 November 2008 hingga 1 Julai 2009 di Pejabat FNM di sini.
Bagi setiap pertuduhan, Sawiya yang kini bertugas di Jabatan Laut Sarawak didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berasal dari Kuala Lumpur diwakili peguam Fabian Sigar manakala pendakwaan dijalankan oleh Othman Anyan.
Sawiya dibebaskan dengan jaminan mahkamah berjumlah RM10,000 bagi kesemua pertuduhan. Kes tersebut akan disebut semula pada 15 Februari depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2F6vxfFVd 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment