Search This Blog

Monday, December 10, 2012

Gerakan cari dua sesat di Hutan Sungai Kerak

Berita Harian | Gerakan cari dua sesat di Hutan Sungai Kerak:

Jerantut: Dua lelaki bersaudara dipercayai sesat di Hutan Sungai Kerak, Kampung Besul, Jalan Kuala Tembeling dekat sini, ketika mencari tapak lombong bijih besi baru sejak Khamis lalu.

Mangsa yang belum ditemui ialah Mohd Amin Sidek, 35, dari Kampung Batu Embun, dan anak saudaranya, Mohd Radzi Mat Ali, 15 dari Perumahan Kos Rendah Bandar Jerantut, di sini.

Mohd Amin bersama lima lelaki lain dikatakan memasuki hutan itu dari Kampung Besul kira-kira jam 10 pagi Khamis lalu, untuk meninjau kawasan bijih besi baru yang dianggarkan dua jam berjalan kaki dari jalan besar.

Serangan asma

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail, berkata Mohd Amin dipercayai tersesat apabila memasuki semula hutan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang selepas membawa keluar seorang rakannya yang dikatakan mengalami serangan asma sejam sebelum itu.

“Ketika masuk semula ke hutan, dia membawa anak saudaranya, Mohd Radzi untuk menemani tetapi dipercayai tersesat dan gagal menemui kumpulan rakannya itu.

“Rakannya yang lain keluar dari hutan itu kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin) dan terus melaporkan kejadian ini.
“Kita juga menerima aduan dan laporan polis dibuat abang mangsa pada jam 8 malam semalam (kelmarin),” katanya di sini, semalam.

Gerakan mencari

Berikutan itu, beliau berkata, seramai 22 anggota polis dibantu dua unit anjing pengesan, 13 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), 13 anggota Bomba dan Penyelamat serta penduduk tempatan melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat.

“Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan gerakan mencari terus dijalankan di lokasi Hutan Sungai Kerak dan Hutan Simpanan Besul,” katanya.
Azid berkata, kejadian sedemikian adalah kali ketiga membabitkan penduduk yang masuk ke kawasan terbabit untuk mencari tapak bijih besi.

Justeru, beliau menasihati penduduk yang mahu ke kawasan hutan itu membuat persiapan rapi dengan peralatan dan makanan mencukupi serta diiringi jurupandu mahir.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment