Search This Blog

Saturday, December 8, 2012

Gempa bumi kuat di timur laut Jepun

Kosmo! Online - Dunia:


BEBERAPA anggota bomba membuat rayuan bagi meminta penduduk berpindah ekoran kejadian gempa bumi di Rikuzentakata, timur laut Jepun semalam.


TOKYO - Tsunami setinggi satu meter dilaporkan melanda timur laut Jepun semalam selepas gempa bumi kuat berlaku sehingga mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke tempat yang selamat.
Beberapa buah bangunan tinggi di Jepun berhayun selama beberapa minit. Stesen-stesen penyiaran turut meminta penduduk yang tinggal di pesisiran pantai untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi apabila gegaran gempa bumi tersebut dapat dirasakan di timur laut negara ini.
Perkhidmatan telefon mengalami 'kesesakan' akibat bilangan panggilan yang dibuat terlalu banyak.
Bagaimanapun, amaran tsunami itu kemudian ditarik balik pada pukul 7.20 malam waktu tempatan dua jam selepas gempa bumi tersebut berlaku.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi yang berlaku pada pukul 5.18 petang itu berukuran 7.3 pada skala Richter.
Ahli-ahli meteorologi menyatakan tsunami setinggi satu meter itu berlaku di bandar Ishinomaki pada pukul 6.02 petang waktu tempatan.
Pada 11 Mac 2011, bandar itu dilanda tsunami sehingga mengakibatkan kemusnahan yang besar.
Gempa bumi tersebut mengakibatkan 19,000 orang terbunuh dan 325,000 lagi hilang tempat tinggal ekoran kekuatannya ialah 9.0 Richter.
Tiada laporan tentang kematian ekoran kejadian gempa bumi terbaharu itu.
Bagaimanapun, tiga orang dilaporkan cedera ringan di timur Jepun.
Beberapa tsunami kecil dilaporkan turut berlaku termasuk setinggi 40 sentimeter di bandar Soma.
Menurut stesen penyiaran NHK, kira-kira 5,000 orang berpindah ke kawasan lebih selamat di Miyagi, timur laut Jepun.
Stesen penyiaran tersebut juga meminta orang berpindah dengan mengimbas kembali kejadian tsunami yang berlaku pada Mac tahun lalu.
Gempa bumi itu berlaku 36 kilometer (km) di bawah dasar Lautan Paisifik dan berpusat 284km ke timur Sendai.
Dua lagi gempa bumi susulan yang berukuran 6.2 dan 5.5 Richter turut berlaku.
Seorang sukarelawan di sebuah pusat pemulihan gempa bumi di Minami-Sanriku, Aiko Hibiya berkata, dia berada di rumah rakannya ketika gempa bumi tersebut berlaku.
"Gegaran gempa bumi itu berlaku bagi tempoh yang lama," katanya.
Gempa bumi itu juga tidak menjejaskan loji tenaga nuklear yang dikendalikan oleh Syarikat Tokyo Electric Power Co.
Sebelum ini sebuah loji nuklear di Fukushima rosak akibat tsunami yang berlaku pada 11 Mac tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2EPhobT53 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment