Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Dua beradik dipercayai lemas dibawa arus

Dua beradik dipercayai lemas dibawa arus:

HULU LANGAT 12 Dis. - Tindakan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyelamatkan adiknya yang dibawa arus deras ternyata sia-sia apabila kedua-dua mereka dipercayai lemas di Sungai Langat di sini, petang ini.
Dalam kejadian itu, Mohammad Syawal Azhari, 17, dikatakan terjun untuk menyelamatkan adiknya, Mohammad Tarmizi, 13, yang lemas tetapi mengalami nasib sama kerana arus sungai yang deras selepas hujan lebat kira-kira pukul 3 petang.
Difahamkan, seorang lagi rakan mereka cuba menyelamatkan dua beradik itu tetapi tidak berjaya kerana mengalami kekejangan.
Ibu mangsa, Siti Mas Hashim, 52, yang ditemui Utusan Malaysia berkata, kali terakhir dia melihat dua beradik itu selepas pulang menghantar lauk ke rumah kira-kira pukul 2 petang.
Katanya, dua beradik itu difahamkan ke sungai terbabit bersama empat lagi rakannya untuk memancing serta mandi selepas bermain bola sepak.
"Saya melihat Mohammad Tarmizi sedang bermain bola sepak di kawasan lapang manakala Mohammad Syawal pula sedang bergegas-gegas mengangkat kain kerana hujan lebat.
"Difahamkan Mohammad Tarmizi mengikut abangnya ke sungai untuk memancing dan tidak berniat untuk mandi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Raya di sini.
Ibu tunggal itu memberitahu, dia sebelum ini melarang anak kelapan dan kesembilan daripada 11 beradik itu ke sungai terbabit kerana telah berlaku banyak kes lemas.
"Mohammad Syawal sering memancing di sungai itu selepas tamat peperiksaan SPM malah dua beradik itu amat rapat kebelakangan ini hingga ke mana-mana sahaja berdua," katanya yang berharap anak- anaknya itu selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, operasi yang bermula pada pukul 4.54 petang terpaksa diberhentikan sementara kerana cuaca gelap.
"Operasi yang disertai Pasukan Bomba dan Penyelamat termasuk anggota selam skuba itu terpaksa dihentikan pada pukul 9.30 malam dan akan disambung pagi esok," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121213/je_03/Dua-beradik-dipercayai-lemas-dibawa-arus#ixzz2Ew3voWui
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment