Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Dua anggota JPJ tak mengaku terima suapan

Dua anggota JPJ tak mengaku terima suapan - Utara - Sinar Harian:

BUTTERWORTH - Dua kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 di sini, semalam atas tuduhan rasuah melibatkan RM300.
Dua penjawat awam itu, Penolong Pegawai Penguat kuasa, V Chandrasegeran, 42, dan Pembantu Penguat kuasa, Farid Abdullah, 27, turut minta dibicarakan ketika kes mereka disebut di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad dalam prosiding, semalam.
Mereka bersama-sama didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam, 14 April lalu di Lorong Perusahaan 10, Kawasan Perusahaan Perai, berhampiran kilang RK-M, Perai.

Dalam prosiding itu, Chandrasegeran yang disebut sebagai tertuduh pertama didakwa secara rasuah bersetuju menerima suatu suapan iaitu wang tunai RM300 daripada pemandu lori, P Murugan melalui Farid Abdullah.
Wang itu didakwa diterimanya sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pemandu berkenaan yang dikatakan memandu lori dalam keadaan tayar yang haus.

Chandrasegeran yang diwakili peguam A Chandrasegaran dari Butterworth didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama jika didapati bersalah.

Hukuman di bawah seksyen ini memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh kedua, Farid didakwa bersubahat dengan Chandrasegeran bersetuju menerima wang tunai RM300 dari pemandu lori itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Farid didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 28 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Hukuman yang bakal dihadapi Farid jika didapati bersalah sama seperti rakannya.

Farid memaklumkan dia melantik seorang peguam namun disebabkan peguamnya mempunyai kes di mahkamah lain, dia tidak dapat hadir mendengar prosiding yang dikenakan ke atasnya semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Sekman dari SPRM kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 tiap seorang, sementara menantikan tarikh baru sebutan bagi memberi ruang kepada peguam Farid hadir mewakilinya
dalam kes berkenaan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh mendengar semula sebutan kes berkenaan yang akan dijalankan secara serentak.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment