Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Doktor disamun warga asing

Doktor disamun warga asing - Pahang - Sinar Harian:

RAUB – Seorang doktor dan isterinya menjadi mangsa samun dua warga asing dalam kejadian di rumahnya dekat Taman Sentosa kira-kira jam 4 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, suspek menggunakan pemutar skru panjang dan sabit kecil untuk membolehkan mereka memecah masuk ke rumah mangsa.
Menurutnya, mangsa berusia 60-an bersama isteri telah diikat dua suspek dengan menggunakan wayar lampu meja.
“Suspek melarikan beberapa utas jam tangan berjenama, barang kemas, telefon pelbagai jenama, beg tangan dan wang tunai membawa kepada kerugian lebih kurang RM100,000.
“Unit K9 yang turut sama mengambil bahagian dalam siasatan menjumpai seutas jam tangan milik mangsa yang tercicir berdekatan rumahnya,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, Unit K9 juga berjaya menjejaki suspek hingga ke tapak pembinaan dan menangkap tiga lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara, denda serta sebatan.
“Siasatan Unit Forensik menemui kesan cap jari berkemungkinan suspek hanya mahu melakukan pecah rumah.
“Memandangkan kegiatan mereka disedari mangsa, suspek bertindak menakutkan mangsa dengan menggunakan pemutar skru panjang dan sabit,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa tidak mendapat sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau berharap agar orang ramai lebih peka terhadap keselamatan rumah dan harta benda masing-masing.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment