Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Dadah kotak tisu

myMetro | Dadah kotak tisu:

KUALA LUMPUR: Menyembunyikan dadah dalam kotak dan dibawa menggunakan plastik kedai serbaneka 24 jam. Itulah helah digunakan kumpulan pengedar dadah kecil-kecilan dalam menjalankan aktiviti pengedaran dadah mereka.
Namun, hasil maklumat awam dan risikan, empat lelaki masing-masing dua warga Pakistan dan dua Nigeria ditahan dalam dua serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan RM280,000.

Difahamkan, ketika ditahan polis menemui dadah dalam kotak tisu dan kotak kasut yang diletakkan dalam plastik kedai serbaneka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam serbuan pertama Ahad lalu kira-kira jam 9 malam, polis menahan dua lelaki warga Pakistan berusia 27 dan 28 tahun.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan di tempat letak kenderaan di Cap Square, Jalan Munshi Abdullah. Hasil penahanan itu, kami menemui 1.6 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.

“Nilai rampasan dianggarkan lebih RM170,000. Malah, ujian saringan air kencing kedua-duanya juga positif dadah,” katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Beliau berkata, suspek direman hingga esok untuk siasatan lanjut dan pihaknya percaya mereka adalah pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

Suspek yang bekerja di kedai menjual pakaian dikesan melakukan aktiviti pengedaran dadah sebagai pendapatan sampingan sejak empat tahun lalu.
Bagi kes kedua, Adnan berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun pada Rabu lalu kira-kira jam 6 petang di sebuah hotel bajet di Cheras, di sini.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu 996 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM112,000. Mereka ditahan reman bermula semalam (kelmarin) hingga 19 Disember ini.

“Kedua-dua suspek dikesan masuk ke negara ini tahun lalu menggunakan pas pelajar. Siasatan mendapati mereka belajar di institut bahasa di Taman Maluri dan ibu kota,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment