Cubaan seludup dadah RM600,000 gagal, tekong terjun laut
Dua anggota Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menunjukkan dadah yang dirampas.
 –  Cubaan menyeludup 1.2 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dengan menggunakan sebuah bot fiber yang dipercayai dari negara jiran berjaya dipatahkan Maritim Malaysia, Pangkalan Maritim Batu Pahat di perairan Tanjung Tohor, Batu Pahat, awal pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melaksanakan rondaan berjaya menemui sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam  5.30 pagi, berhampiran pantai Sungai Pulai, Tanjung Tohor.

“Apabila kita menghampiri bot tersebut, tekong bot terkejut lalu nekad  terjun ke laut dan berenang ke paya bakau berhampiran. Tekong bot gagal dikesan kerana keadaan cuaca gelap dan air cetek.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bot menemui sebiji tayar pacuan empat roda dan terdapat empat bungkusan dalam tayar tersebut yang disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 1.2 kilogram dan anggaran nilai rampasan lebih kurang  RM 600,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Iskandar berkata  bot jenis fiber yang berukuran empat meter dengan  enjin Mercury 40 kuasa kuda serta dadah yang dirampas dibawa ke jeti maritim Pangkalan Batu Pahat bagi tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara dari masa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

Dalam masa yang sama, Maritim Malaysia meminta kerjasama orang ramai melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.