Buruh didakwa ugut adik dengan kelewang
Abdullah (tengah) menyembunyikan mukanya ketika dibawa keluar dari mahkamah kelmarin.
KOTA BHARU - Gara-gara mengugut mahu mencederakan adik perempuannya dengan kelewang, minggu lalu seorang buruh menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Abdullah Ismail, 41, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Safuan Azhar terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Abdullah didakwa didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Nik Rohishimaimi Ismail, 32, sambil mengacukan kelewang di Lot 410, Kampung Kedondong, Kedai Lalat, di sini jam 7 petang pada 16 Disember 2012.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Abdullah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan jaminan terhadapnya.

Muhamad Safuan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.