Search This Blog

Saturday, December 8, 2012

Bunyi percikan jadi penyelamat

Bunyi percikan jadi penyelamat - Selangor & KL - Sinar Harian:


Mohd Shamsudin (dua, kanan) melihat dapur rumah Salleh (tengah) yang hangus terbakar.
Mohd Shamsudin (dua, kanan) melihat dapur rumah Salleh (tengah) yang hangus terbakar.


TANJONG KARANG - Bunyi percikan api seperti mercun menjadi penyelamat sembilan ahli keluarga yang nyenyak tidur selepas penat menyiapkan persiapan perkahwinan daripada rentung dalam satu kebakaran di Ban Tiga Parit Empat, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1230 malam itu, api marak bermula dari bahagian belakang turut dilihat penduduk kampung yang minum di kedai berhampiran sebelum bergegas membantu mangsa.

Penduduk, Salleh Yusof, 54, berkata, ketika kejadian, dikejutkan dengan suara panik isterinya dan sebaik sahaja keluar bilik, dia melihat api marak dengan cepat.

“Saya panik melihat api kecil daripada soket berhampiran peti ais secara tiba-tiba marak dengan sekelip mata dan bergegas mengetuk pintu bilik anak, menyuruh mereka segera keluar.

“Ketika itu, saya hanya mahu keluar daripada rumah cepat-cepat bersama anak dan cucu yang masih dalam pantang. Namun sebaik sahaja saya melihat semua selamat berkumpul di hadapan rumah, saya mula teringat kad pengenalan dan dokumen penting di dalam
rumah.

“Saya masuk ke dalam rumah meskipun api masih marak dan terpaksa menahan sakit selepas tangan melecur ketika mengambil kad pengenalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Salleh berkata, kerugiannya dianggarkan hampir RM100,000 memandangkan kebakaran itu turut memusnahkan 100 peratus rumah, dua motosikal, peralatan elektrik, perabot, pakaian, dokumen ahli keluarga, persiapan perkahwinan anak lelaki dan wang tunai.

Sementara itu, menantu mangsa, Noor Haznina Ngahtemin, 28, berkata, menyedari rumah terbakar,  dia segera membawa dua anaknya termasuk seorang yang baru berusia 19 hari keluar rumah.

“Saya tidak sempat nak selamatkan apa-apa barang kerana ketika itu hanya ingat keselamatan anak sahaja,” katanya yang masih trauma.

Nasib malang keluarga itu mendapat perhatian Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias yang mengunjungi mereka bagi mengetahui keperluan dan permohonan bina rumah baru.

Beliau berkata, bantuan awal diberikan bagi meringankan beban ditanggung termasuk persiapan perkahwinan anak yang rentung.

“Saya difahamkan, keluarga mangsa kini menumpang di rumah anak di Parit Tujuh Sekinchan, namun terdapat rumah kosong berhampiran dicadangkan sebagai tempat penginapan, sementara rumah baru siap," katanya.

Mohd Shamsudin berkata, orang kampung bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) akan bekerjasama mengadakan kenduri kesyukuran dan majlis perkahwinan anak mangsa secara bergotong-royong.

Pengerusi Pembangunan Wanita Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Yusof turut hadir membantu isteri mangsa dengan mengumpulkan baju terpakai dan sumbangan orang ramai.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment