Bebas berkeliaran tanpa tuan
Pemandangan sebegini perkara biasa memerlukan perhatian tindakan segera pihak berwajib segera.
KUALA LANGAT - Penternak lembu sekitar daerah ini perlu bertanggungjawab dan tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya apabila ianya berisiko mengundang padah kepada pengguna.

Tinjauan Sinar Harian di Jalan Sungai Buaya dan Tali Air di sini, mendapati haiwan ternakan itu dibiarkan berkeliaran di jalan raya yang boleh mengancam nyawa pengguna terutama pada waktu malam.

Malah, sekumpulan lembu berkenaan yang tidak dikurung pemiliknya juga dilihat menggunakan pondok menunggu bas untuk berteduh dan menjadikan tempat tidur pada waktu malam selain berada di tepi jalan.

Pemandu lori, Rasif Rizki, 32, berkata, dia menggunakan jalan itu setiap hari mengangkut pasir  bimbang kerana haiwan itu sering melintas secara mengejut.

“Lembu berkeliaran di tepi  dan di tengah jalan cukup membimbangkan saya kerana haiwan itu akan melintas.

“Lebih membimbangkan apabila ada lembu yang duduk atas jalan pada waktu malam dan keadaan ini cukup membahayakan pengguna,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Rasif turut kesal apabila lembu tidak bertuan itu menjadikan pondok menunggu bas tempat tidur.

“Ada dalam kalangan pelajar sekolah yang menggunakan kemudahan awam ini mengeluh bau najis ternakan ini menyebabkan tidak selesa malah ada kalanya ternakan yang memasuki kawasan kediaman orang juga menyebabkan penduduk terpaksa membersihkan kotoran ditinggalkan.

“Terdapat juga rungutan haiwan ini memasuki kebun dan halaman rumah seterusnya merosakkan tanaman penduduk  kampung,”  katanya kepada Sinar Harian.

Bagi M Samy, 55, lembu yang berkeliaran itu menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pengguna lalu lintas.

Menurutnya, dia pernah hilang kawalan ketika memandu  apabila ternakan itu  melintas.

“Pemilik  ternakan ini harus memantau  haiwan  mereka bagi memastikan pengguna tidak terlibat dalam  kemalangan jalan raya,” katanya.