Search This Blog

Wednesday, December 26, 2012

Banjir: Persiapan sekolah anak terjejas



Penduduk menggunakan sampan untuk berpindah ke tempat selamat di Kampung Buloh, Setiu, Terengganu, semalam.
KOTA BHARU 25 Dis. - Banjir yang melanda negeri ini menjejaskan persiapan persekolahan yang akan dibuka minggu hadapan apabila pelajar dan keluarga mereka terpaksa tinggal di pusat-pusat pemindahan.
Ruhaiza Jaffar, 41, berkata, hujan lebat yang berterusan sejak seminggu lalu memaksa dia sekeluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong di sini.
Akibat daripada itu, dia bersama suami tidak sempat untuk ke bandar membeli kelengkapan sekolah lima orang anak mereka.
Katanya, melihat kepada hujan yang berterusan, berkemungkinan anak-anaknya akan memulakan sesi persekolahan nanti dengan pakaian lama.
"Sedih juga melihat anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan tanpa kelengkapan baru, namun dengan situasi yang berlaku ini, mereka harus berkorban," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sakinah Muhammad, 48, pula berkata, persiapan sekolah empat orang anaknya langsung tidak difikirkan memandangkan keadaan mereka yang harus berteduh di pusat pemindahan ini.
Katanya, apabila setiap hari hujan lebat membuatkan dia sukar untuk membawa anak-anak ke bandar untuk mencari kelengkapan sekolah.
"Bila sudah hujan macam ini hendak buat apa pun tidak boleh, jadi terpaksalah tinggal di sini sehingga keadaan pulih.
"Jadi anak-anak pakailah mana yang ada dahulu untuk sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan ini" katanya.
Nurhayati Omar, 48, pula berkata, dia juga tidak menyediakan apa-apa lagi kelengkapan sekolah untuk anak-anaknya.
"Susah bila banjir dan hujan lebat berterusan seperti ini. Nak buat apa-apa pun susah," katanya yang baru pertama kali dipindahkan ke pusat pemindahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121226/wt_01/Banjir-Persiapan-sekolah-anak-terjejas#ixzz2GCO0OPxD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment