Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Balak bergolek masuk pagar

Balak bergolek masuk pagar - Kelantan - Sinar Harian:

Balak bergolek masuk pagar
Keadaan lori terbalik dan balak terjatuh hingga memasuki pagar sebuah rumah, petang kelmarin.
KUALA KRAI - “Bila dengar dentuman kuat, saya terus berlari keluar kerana anak saya ada di luar rumah,” kata Tuan Faizah Raja Daud menceritakan kejadian lori balak penuh muatan terbalik berhampiran rumahnya, di sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 petang di Kampung Enggong, berlaku apabila lebih 40 balak terjatuh dari lori itu dan bergolek ke kawasan kediaman berkenaan lalu menghempap garaj di hadapannya.
Tuan Faizah berkata, dia bagaimana pun bersyukur kerana dua anaknya, Putera Mohd Danial Mohamad Noor Azwi, 11, dan Puteri Sara Nur Nabila, 3, sudah pun berada di belakang rumah ketika kejadian.
“Bila dengar dentuman kuat dan rumah rasa bergegar, saya berlari keluar untuk cari mereka berdua kerana sebelum itu, mereka bermain di hadapan rumah,” katanya yang ada empat anak berusia antara tiga tahun dan 17 tahun.
Lori lebih muatan, rantai pengikat balak putus
Suami Tuan Faizah, Mohamad Noor Azwi Kassim, 42, pula berkata, selain struktur dan sebatang tiang garaj patah, sebuah motosikal turut rosak dihempap runtuhan garaj dengan anggaran kerugian RM7,000.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas rantai besi pengikat balak tiba-tiba terputus, menyebabkan lori didakwa membawa lebih muatan itu gagal dikawal hingga terbabas dan terbalik.
“Nasib baik tak berlaku lewat petang kerana selalunya waktu itu anak saya bermain di hadapan rumah.
“Kebetulan juga, hanya sebuah motosikal bawah garaj masa kejadian kerana selalunya ada lima buah,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori terbabit dalam perjalanan keluar selepas mengambil muatan dari beta balak di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chenulang hanya cedera ringan pada lutut kaki kanan.
Minta tambah besi pengadang
Susulan kejadian hampir menggugat nyawa keluarganya, Mohamad Noor Azwi meminta pihak terbabit menambah besi pengadang di laluan berhampiran rumahnya yang dikenali sebagai Selekoh Haji Kassim.
 Katanya, biar pun ini kejadian pertama lori balak terbalik, kawasan rumahnya itu sebelum ini banyak kali dimasuki kereta dan motosikal yang terbabas ketika melalui selekoh berkenaan.
“Selekoh ini juga dikenali sebagai selekoh maut sebab kerap berlaku kemalangan dan kenderaan terbabas sampai masuk ke dalam kawasan rumah saya.
“Pagar rumah kami rosak pun disebabkan dirempuh motosikal dan kereta terbabas,” katanya yang juga Ketua Platun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Enggong.
Kiri dan kanan jalan tidak sama
Menurutnya, ketinggian kiri dan kanan jalan tidak sama selain bentuk laluan seperti ‘belakang kura-kura’ dipercayai jadi punca kemalangan dan kenderaan terbabas kerap berlaku di selekoh itu.
“Jalan tidak sama, sebelah tinggi dan sebelah rumah saya pula rendah, jadi kenderaan mudah ‘tertarik’ ke arah rumah saya bila terbabas atau berlaku kemalangan.
“Jika ada pengadang besi, kami sekeluarga rasa lebih selamat kerana sekurang-kurangnya kenderaan terbabas tidak terus masuk ke kawasan rumah,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment