Search This Blog

Saturday, December 8, 2012

87 rumah rosak dilanda ribut

87 rumah rosak dilanda ribut - Perak - Sinar Harian:

87 rumah rosak dilanda ribut
Pokok setinggi kira-kira 10 meter tumbang dalam kejadian ribut sehingga menutup jalan di Kampung Baru, Jelapang, semalam.
JELAPANG – Ribut dan angin kencang yang melanda sekitar Taman Meru di sini, mengakibatkan kira-kira 87 rumah rosak teruk apabila bumbungnya diterbangkan dalam kejadian itu, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu menjejaskan 40 rumah di Taman Meru, Taman Jati (4), Taman 3C (4), Kampung Datuk Ahmad Said (1), Kampung Sungai Tapah (1), Kampung Baru (20) dan Taman Jelapang Jaya (17), Mangsa, Jasbir Kaur, 57, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila keseluruhan peralatan dalam rumah basah dan rosak berikutan seluruh bumbung rumah kayunya diterbangkan angin.

“Kejadian ribut itu benar-benar menakutkan saya selepas 50 tahun tinggal di Kampung Baru ini. Rumah bergegar apabila angin kuat sebelum menerbangkan semua bumbung.

“Dalam keadaan hujan lebat itu, saya berlari keluar untuk selamatkan diri dan tumpang berteduh di rumah jiran serta tidak mampu berbuat apa-apa ketika kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga masih memikirkan tempat tinggal berikutan tidak mempunyai saudara berhampiran untuk tumpang berteduh.

“Malam ini (semalam), mungkin saya terpaksa berjaga untuk memastikan barang tidak hilang. Banyak perkara yang perlu diselesaikan selain memikirkan saluran untuk memohon bantuan yang ada,” katanya.

Sementara itu, pengusaha makanan, Chong Kien Foo, 41, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya bernasib baik apabila pokok setinggi kira-kira 10 meter tidak menghempap rumahnya.

“Ribut kali ini agak kuat sehingga boleh menumbangkan pokok besar di hadapan rumah. Namun, kami sekeluarga bernasib baik kerana lori, kereta diletakkan di dalam garaj.

“Dahan pokok itu sahaja yang menjejaskan sebahagian bumbung garaj kami," katanya.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis telah dibuat dan mereka masih terkejut dengan kejadian pertama kali itu.

Dalam perkembangan sama, Adun Manjoi, Datuk Nadzri Ismail menyalurkan bantuan lebih 200 keping bumbung kepada mangsa yang terlibat.

“Kita terima banyak aduan penduduk dan tindakan segera diambil terutamanya kepada mangsa di Taman Meru yang terjejas teruk dalam bencana kali ini,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment