Search This Blog

Monday, December 3, 2012

105 dipaksa makan kertas

myMetro | 105 dipaksa makan kertas:

PELABUHAN KLANG: Seramai 105 wanita warga asing bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu oleh sebuah syarikat agensi pembantu rumah yang beroperasi di Bandar Baru Klang, di sini.
Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu diperdaya menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian, namun tidak menerima gaji selepas berkhidmat sejak enam bulan lalu dengan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di Malaysia.

Mereka yang terdiri daripada 95 warga Indonesia dan masing-masing enam dan empat warga Filipina itu, diselamatkan dalam Ops Khas 6P Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, serbuan jam 7.45 pagi itu mendapati semua wanita terbabit dikurung di tingkat tiga dan empat premis syarikat agensi pembantu rumah berkenaan.

Beliau berkata, wanita terbabit turut mendakwa dikasari selain makanan dicatu agensi berkenaan dan ada antara mereka yang dipaksa makan kertas surat khabar setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.

“Setiap pagi, agensi ini akan menghantar mangsa dengan van ke rumah dan pejabat di Klang untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan tukang cuci dengan pendapatan RM700 sebulan.
“Mereka dikurung di beberapa bilik di premis berkenaan sebaik pulang dari tempat kerja dan tidak dibenarkan keluar bagi mengelak kegiatan ini dihidu pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Amran berkata, siasatan mendapati, semua mangsa masuk ke Malaysia sejak sebulan hingga enam bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial sebelum ditempatkan di premis agensi pembantu rumah itu.

Dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dan masing-masing lima dan tiga warga Indonesia Kemboja yang berusia 30 hingga 50 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan. Amran berkata, pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan iaitu pemilik agensi pembantu rumah terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, agensi berlesen itu beroperasi sejak lima tahun lalu, tetapi didapati melakukan kesalahan kerana semua wanita yang diambil bekerja itu hanya memiliki pas lawatan sosial bukan permit bekerja sah.

“Semua wanita terbabit dibawa ke rumah perlindungan di Bukit Ledang, Damansara untuk perlindungan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 44(1), Akta Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala lelaki dan wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika disabitkan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada wanita terbabit, Adinda Tanas, 20, mendakwa sejak bekerja dengan agensi itu Mei lalu, dia tidak pernah menerima gaji.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment