Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Yeoh ‘koboi’ diburu



         
ALOR SETAR: Seorang penjenayah paling dikehendaki dan berbahaya kini dalam buruan polis berikutan penahanan empat lelaki lain dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan along selepas berlaku kejadian melepaskan tembakan di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Khamis lalu.

Suspek utama dikenali sebagai Yeoh Choon Wah, 34, dari Taman Beringin, Sungai Petani adalah penagih dadah tegar dan dipercayai memiliki senjata api selain bersikap seperti ‘koboi’ apabila melepaskan tembakan sesuka hati jika berada dalam keadaan terdesak.


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek berkenaan yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau diburu polis selepas melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki bersama rakannya yang menaiki sebuah kereta di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, suspek bersama rakannya pergi ke rumah lelaki berusia 36 tahun yang juga along, sebelum memecahkan pintu rumah menggunakan kayu besbol ketika isteri mangsa berusia 28 tahun berada dalam kediaman terbabit.


Katanya, mangsa yang kebetulan pulang bersama rakannya berusia 36 tahun menjerit ke arah dua lelaki terbabit sebelum tiga das tembakan dilepaskan ke arah mereka, tetapi tidak mengenai sasaran.


“Mangsa bersama rakannya melarikan diri dengan menaiki kereta Honda Accord sebelum suspek dan rakannya mengejar dengan menggunakan dua kereta.

“Ketika dikejar, suspek melepaskan antara dua hingga tiga das tembakan ke arah kereta dinaiki mangsa dan rakannya sebelum mangsa melarikan diri ke Pondok Polis Bandar Puteri Jaya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontijen negeri, semalam.


Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tan.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis menahan rakan kepada suspek utama berusia 39 tahun yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan siasatan awal mendapati kereta Proton Waja yang dinaikinya adalah kereta curi.


Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta itu juga membawa kepada penemuan sebilah pisau, dua tong mengandungi empat liter petrol, satu botol gas dan jaket.

No comments:

Post a Comment