Warga emas mengaku salah main judi
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas antara lima yang ditahan ketika bermain judi jenis dadu dengan bertaruhkan RM11 dalam serbuan di bawah pokok jawi di Jalan Masjid Abidin, di sini, kelmarin.
Susulan itu, warga emas terbabit, Ismail Ibrahim, 63, dari Kampung Ladang Sekolah Arab, di sini, bersama empat rakannya, Mohd Saidi Jusoh, 54, dari Taman Sri Kolam; Azmi Latif, 50, Kampung Tok Dir; Mohd Sofian Majid, 44,
Kampung Nyior Tg Belanja, Parit, Perak, dan Jusoh Latif, 59, dari Kampung Gomok, Tepoh, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mereka mengaku bersalah pada 24 November lalu, kira-kira jam 4.40 petang di tempat bebas di bawah pokok jawi, Jalan Masjid Abidin, bermain judi jenis dadu dengan bertaruhkan wang tunai.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau  kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Abdul Hayyi membenarkan mereka diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum.
Dalam rayuan, mereka memohon jaminan dikurangkan dengan alasan terpaksa menyara persekolahan anak, tidak bekerja, sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.