Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Wanita diugut bunuh oleh suami warga Nigeria, minta polis bertindak

GEORGE TOWN - Seorang pegawai pemasaran meminta polis mengambil tindakan segera terhadap suaminya warga Nigeria yang mengugut membunuhnya.
   
Armanda, 30, berkata beliau terpaksa hidup seperti pelarian dan berlindung di rumah saudaranya kerana bimbang dikesan suaminya.
   
"Kami berkahwin dua tahun lepas selepas secara tidak sengaja bertembung di sebuah gereja di sini dan sikapnya yang sebelum itu lemah lembut, baik dan mengambil berat kemudian menjadi seorang yang panas baran dan kaki pukul.
   
"Dia juga tidak pernah layan saya seperti seorang isteri. Saya dijadikan seperti orang gaji dan hanya teman ranjang serta tidak pernah diberi duit belanja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA, di sini hari ini.
   
Beliau mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun itu juga tidak membenarkan beliau bekerja, keluar dari rumah dan bergaul dengan orang lain sekalipun anggota keluarganya.

"Jika ada yang tidak kena, dia akan memukul saya dengan apa saja peralatan yang tercapai seperti penyangkut baju," katanya.    
   
Armanda berkata akibat tidak tahan dengan perangai suaminya, beliau melarikan diri dan membuat laporan polis pada April lepas bagaimanapun menarik semula laporan berkenaan setelah dipujuk dan ingin memberi peluang kedua kepada suaminya. 
   
"Sebaik kembali ke rumah, suami mengugut untuk membunuh dan menghantar mayat saya ke rumah ibu. Dia juga menakutkan saya dengan berkata saya tidak tahu siapa dirinya di Nigeria," katanya.
   
Katanya, bimbang keselamatan diri, beliau tekad melarikan diri sekali lagi pada Ahad lepas dan membuat laporan polis sehari selepas itu.
   
"Sebenarnya saya merasa seolah-olah tertipu dengan suami kerana dia tidak pernah menceritakan latar belakangnya semasa di negara asal.
   
"Dia juga tidak tidak memberitahu nama asalnya dan menggunakan nama lain pada pasport dan visa," kata Armanda.

Selain itu, Armanda berkata beliau juga curiga dengan suaminya yang tidak bekerja itu tetapi mempunyai sejumlah wang yang banyak dalam akuan bank.
   
"Saya ada menyemak buku bank milik suami dan terkejut mendapati ada transaksi melibatkan jumlah yang banyak. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang yang banyak," katanya. 
   
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata pihaknya berharap polis dapat melakukan siasatan segera terhadap lelaki berkenaan kerana melibatkan keselamatan mangsa.
   
"Kita mahu tahu status kes itu dan jaminan terhadap mangsa, kita juga mahu semua aktiviti berkaitan lelaki itu disiasat memandangkan kemasukannya ke negara ini menggunakan visa pelajar tetapi tidak mendaftar di kolej," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment