Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Wanita cedera, kereta dinaiki dirempuh


Norliana Suparman
Mangsa diusung ke ambulan JPAM selepas selamat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
ALOR GAJAH - Seorang wanita cedera apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu dirempuh sebuah Proton Satria GTI ketika membuat pusingan 'U' di jalan Rantau Panjang, Masjid Tanah, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Norliana Suparman, 29, bersama saudaranya keluar dari sebuah lorong membelok ke kanan memasuki laluan menuju ke Ayer Paabas.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa secara tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrihan Alias, 24, dari Masjid Tanah tidak sempat mengelak dan terpaksa merempuh kereta dinaiki mangsa.
Shahrihan berkata, dia gagal mengelak dan terpaksa merempuh kereta mangsa.
"Saya bersama orang awam cuba membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut.
"Mujur tidak lama kemudian anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat tiba bersama ambulans dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah membantu mengeluarkan serta merawat mangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, PBK 2 Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.38 petang memaklumkan mangsa masih tersepit dalam kereta.
“Setiba di lokasi kejadian bersama lima anggota dengan sebuah jentera mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba mengambil masa kurang lima minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Bomba merenggangkan bahagian pintu kereta berkenaan sebelum membawa mangsa keluar dan menyerahkan kepada anggota JPAM untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment