GEORGE TOWN - Seorang wanita menerima dua jahitan di kepala akibat cedera terjatuh dari motosikal semasa beg tangannya direntap seorang peragut di Lebuh Pantai di sini hari ini.
"Yeoh Swee Chin, 28, cedera di kepala akibat terjatuh motosikal tetapi polis berjaya memberkas suspek setelah mengejarnya sejauh dua kilometer," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng    kepada pemberita mengenai kejadian yang berlaku pukul 8 pagi itu.
Beliau berkata polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah lelaki berusia 29 tahun itu dan menemui wang tunai termasuk mata wang asing, pelbagai dompet, beg tangan, barang kemas, telefon bimbit dan sebilah pedang samurai.
Katanya suspek yang bekerja sebagai mekanik mempunyai dua rekod lampau melibatkan jenayah ragut dan samun. Dia ditahan reman bagi membantu siasatan.
Dalam tangkapan berasingan, polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun di sebuah stesen minyak Jalan Masjid Negeri menerusi 'Ops Kesan' pada pukul 12 tengah hari, 29 Okt lepas.
Gan berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam 17 kes samun yang dilaporkan berlaku di sekitar Tanjung Tokong, Pulau Tikus dan Jalan Patani, dalam tempoh dua bulan ini.
Beliau berkata suspek positif dadah dan hasil pemeriksaan di rumah mereka menemui pelbagai barang curi termasuk kad kredit dan dokumen peribadi kepunyaan mangsa ragut.
"Mereka ditahan reman sehingga 2 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Katanya dengan penahanan ketiga-tiga peragut berkenaan polis percaya dapat menyelesaikan lebih 20 kes samun dan ragut serta menemui 60 peratus daripada barang hilang bernilai RM50,000.- Bernama