Search This Blog

Wednesday, November 7, 2012

Wang gaji RM1.35j dirompak


Marudi: Dalam tempoh tiga minit, sebuah syarikat pembinaan rugi RM1.35 juta selepas wang gaji pekerja mereka dirompak di Jalan Beluru-Lapok, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 petang itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki empat kakitangan syarikat dihimpit kenderaan jenis sama dinaiki lapan suspek lelaki menyebabkan mereka terpaksa berhenti.
Perompak yang bersenjatakan dua senapang patah, parang dan kayu kemudian memecahkan cermin sisi sebelum merampas dua beg berisi wang tunai yang dibawa dari Miri.


Jalan lengang

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokhtar, berkata ketika kejadian jalan lengang berikutan hujan dan perompak dipercayai melakukan perancangan rapi serta mengetahui jadual kakitangan syarikat pemasangan paip gas milik PETRONAS.

“Suspek yang bertopeng dan bertindak agresif kemudian memecut meninggalkan lokasi kejadian menghala balik ke Beluru bersama wang rompakan.

“Berdasarkan maklumat, wang berkenaan adalah bagi membayar gaji pekerja yang terbabit dalam pemasangan paip gas di Kem 5, Long Bedian, dan Kem 6, Lapok,” katanya ketika dihubungi.
Kakitangan syarikat itu dilaporkan tidak cedera dan diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi bagi memberi kenyataan.

Difahamkan, syarikat pembinaan itu terbabit dalam kerja pemasangan projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) milik PETRONAS yang bernilai kira-kira RM4.6 bilion.

Buru suspek

Abu Bakar berkata, berikutan itu pihaknya dalam usaha memburu suspek termasuk mendapatkan bantuan IPD Bintulu dan Miri bagi melakukan sekatan jalan raya.

“Kakitangan syarikat memaklumkan mereka terlalu panik ketika diserang dan tidak sempat berbuat apa-apa selain perompak mengancam melepaskan tembakan.
Kita sedang melakukan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan percaya suspek masih berada di dalam negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment