PASIR MAS - Tiga orang, termasuk warga emas orang kurang upaya (OKU), terbunuh dalam dua kemalangan di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Kampung Lemal hari ini.
  
Dalam kejadian pertama pada 3.40 petang, Ismail Othman, 67, terbunuh apabila motosikal yang ditunggang dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas berlanggar dengan sebuah kereta.
  
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Halaluddin Halim berkata mangsa dipercayai membuat pusingan 'U' sebelum bertembung kereta itu, yang datang dari arah bertentangan.
  
Mangsa disahkan meninggal dunia di bilik kecemasan Hospital Pasir Mas manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
  
Dalam kejadian kedua kira-kira sejam selepas itu, seorang guru Che Hasmah Che Musa, 42, maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung sebuah Proton Perdana tidak jauh dari lokasi kemalangan pertama.

Penumpang Proton Perdana yang dikenali sebagai Mohamad Sharafan Ab Abhari Md Fuzi, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.
  
Halaluddin berkata ketika kejadian, Che Hasmah dalam perjalanan dari Pasir Mas ke rumahnya di Rantau Panjang.
  
Beliau berkata Che Hasmah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Perdana itu tidak mengalami kecederaan.
  
Mayat semua mangsa kemalangan dibedah siasat di Hospital Pasir Mas sebelum diserah kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan. - Bernama