Tertuduh kes tikam pembantu kedai kain diarah jalani pemeriksaan mental
Mahkamah Tinggi mengarahkan Albert dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, sehingga 8 Januari depan.
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan suspek utama dalam kejadian tikaman maut membabitkan seorang pembantu kedai di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik, di sini, Februari lalu dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor  Bahru.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan tertuduh, Albert Majang, 23, dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak, dihantar ke hospital berkenaan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan mental sehingga 8 Januari tahun depan.

Terdahulu, Albert didakwa membunuh Wan Manisah Wan Mansor, 27, pada 1 Februari lalu kira-kira jam 8 malam, di tingkat bawah kedai UB Textile Sdn Bhd di Pusat Niaga Paya Keladi, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Albert tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kejadian seorang pembantu kedai maut sebelum ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki dalam kejadian 1 Februari lalu.

Mangsa mengalami kecederaan parah dengan enam tikaman pada kiri badannya, iaitu tiga di lengan dan tiga di bahagian belakang.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 2.05 pagi, keesokannya.