Terima akibat rasuah Pengarah Imigresen negeri
Tertuduh menutup muka sebaik saja keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
SEREMBAN – Tindakan seorang warga Myanmar merasuah Pengarah Jabatan Imigresen negeri mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Kyaw Sun Tun, 29, yang bekerja di sebuah restoran turut berdepan dengan hukuman tambahan 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi setelah pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, Sun Tun didakwa memberi suapan RM2,000 kepada Faizal Fazri Othman yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan.

Dia melakukan kesalahan itu sebagai dorongan kepada pengadu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang tidak memiliki pas yang sah memasuki negara ini di Tingkat 1, Jalan ¼ Taman Tuanku Ja'afar, kira-kira 10.30 malam, 6 November lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannnya diringankan kerana kesalahan itu adalah kesalahan pertamanya dan dia hanya berpendapatan RM30 sehari.

Malah, dia menyedari dan mengakui perbuatan yang dilakukannya adalah sesuatu yang salah.

Nursinah dalam penghakimannya kemudian berkata, mahkamah mengambil kira rayuan tertuduh terhadap kesalahan pertama kali dilakukan, namun mengingatkannya bahawa kesalahan dilakukan tertuduh suatu kesalahan serius dan meminta tertuduh insaf dengan tidak mengulangi kesalahan serupa.