Tendang peguam wanita: Pemuda dipenjara dua minggu, denda RM 2000
Nawawi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Akibat menendang seorang peguam wanita selepas berlaku kemalangan kecil, seorang pemuda dijatuhi dipenjara dua minggu dan denda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Nawawi Ab Rahman, 25, dari Kampung Telok Menara Manir, di sini, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas NurulAin Izzati Harun, 25, pada 20 Ogos lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, mangsa memandu kereta menuju ke Kampung Pasir Tebakang sebelum berlaku kemalangan kecil dengan tertuduh yang ketika itu menunggang motosikal.

Mangsa keluar dari keretanya dengan hasrat menyelesaikan masalah kerana hanya berlaku kemalangan kecil namun tertuduh tidak berpuas hati terus menendang kaki kiri mangsa sehingga cedera.
Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) membuat laporan polis di Balai Polis daerah Kuala Terengganu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.