Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Taufan Sandy mengganas di AS



Ombak besar dibawa Taufan Sandy menghempas pantai di Shinnecock Hills, New York, kelmarin. - Reuters
NEW YORK 30 Okt. - Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh di tujuh buah negeri apabila Taufan Sandy mengganas, membadai kawasan persisiran pantai timur Amerika Syarikat (AS), awal hari ini menyebabkan lebih sejuta penduduk di beberapa negeri terpaksa dipindahkan.
Antara negeri yang mencatat kematian termasuklah New York, New Jersey, Maryland, Pennsylvania, West Virginia dan North Carolina apabila taufan itu melanda AS sejak pukul 8 malam tadi (8 pagi waktu Malaysia hari ini, menjejaskan lebih 50 juta penduduk di wilayah itu.
Kira-kira sejuta penduduk yang terjejas teruk turut dipindahkan.
Taufan gergasi itu membawa kelajuan angin 130 kilometer sejam, melanda kawasan persisiran pantai sejauh beratus-ratus kilometer dengan beberapa negeri dilanda hujan lebat dan bandar-bandar utama lumpuh dengan bandar raya New York paling teruk terjejas.
Presiden Barack Obama mengisytiharkan dekri kecemasan di New York dan New Jersey, selepas taufan tersebut mengakibatkan kira-kira 13,500 penerbangan di seluruh negara dibatalkan semalam dan hari ini.
Bandar raya New York lumpuh apabila sistem pengangkutan kereta api bawah tanah terjejas teruk, terburuk dalam tempoh 108 tahun, sementara kira-kira tujuh juta penduduk di seluruh negara turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.
Satu kebakaran besar di kawasan penempatan di New York City yang banjir, menyebabkan 50 buah rumah musnah, namun hanya dua orang mengalami kecederaan ringan.
Suasana di sekitar pusat bandar Manhattan turut panik apabila banjir setinggi 3.9 meter menenggelamkan terowong-terowong dan stesen kereta api bawah tanah, selain menyebabkan pelancong serta pesakit-pesakit di hospital terpaksa mencari tempat berlindung.
Dalam perkembangan berkaitan taufan gergasi itu, dua buah loji kuasa nuklear masing-masing di New Jersey dan New York ditutup awal hari ini, namun operator loji menyatakan, ia tidak mendatangkan risiko terhadap keselamatan awam.
Pusat Taufan Kebangsaan menyatakan, Sandy yang berubah lemah kini bergerak ke kawasan pedalaman, namun masih mampu menghasilkan angin kencang serta banjir di sepanjang pantai timur.
Sejak membadai Caribbean beberapa hari lalu, taufan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67 nyawa.
Firma pengurusan bencana, Eqecat meramalkan, Sandy boleh menjejaskan kira-kira satu perlima atau 60 juta penduduk AS dan mengakibatkan kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM60 bilion). - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121031/lu_01/Taufan-Sandy-mengganas-di-AS#ixzz2AyQt94Lb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment