banjir
Pengalaman tiga kali berpindah ke pusat pemindahan banjir menyebabkan keluarga Nor Aini membuat persiapan awal menghadapi bencana alam ini.
PONTIAN - Kampung Tampok Laut, Benut mula menerima kesan musim tengkujuh, awal pagi semalam.

Hujan lebat sejak kelmarin, ditambah dengan fenomena air pasang yang berlaku, menyebabkan enam rumah di hujung kampung berhampiran pintu air pasang surut dinaiki air hingga paras lutut.

Salah seorang mangsa banjir yang ditemui, Nor Aini Godeng, 43, berkata, ketika kejadian, dia dan suami serta empat anak mereka sedang tidur tanpa menyedari air mula memasuki rumah kira-kira jam 5 pagi, semalam.

“Mujur, anak sulung yang tidur di ruang tamu mengejutkan saya memberitahu air sudah masuk ke dalam rumah.

“Saya lihat air mula memasuki rumah sedikit demi sedikit, kemudian secara tiba-tiba naik sehingga ke paras lutut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pengalaman tiga kali berpindah ke pusat pemindahan banjir sejak 2009 menyebabkan dia sekeluarga melakukan persediaan awal menghadapi bencana alam ini.

Jelasnya, dia dan suami, Mohd Nor Mantung, 45, bersama empat anak berumur empat hingga 16 tahun sudah memindahkan barang di rumah mereka ke tempat yang lebih tinggi.

Bagi Hashim Tik, 59 berkata, dia dan isteri, Bahara Mantuk, 50, sempat memindahkan barang ke tempat lebih tinggi sebaik menyedari air mula memasuki rumah mereka, awal pagi semalam.

Menurutnya, kedudukan kediamannya yang terletak di kawasan rendah menyebabkan ia sering dinaiki air.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Tampok Laut, Bokok@Lagenda Bachok berkata, dia mula mengesan kejadian banjir kilat itu seawal jam 5 pagi dengan melawat kawasan terlibat.

Menurutnya, dia sentiasa menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran pintu kawalan air supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir seperti yang pernah berlaku pada tahun lalu.

“Kami sentiasa berhubung dengan ketua kampung, penghulu Mukim Benut, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis dan sekiranya perlu, penduduk akan dipindahkan,” katanya.
“Bagaimanapun, pemindahan penduduk adalah akhir sekiranya paras air benar-benar tinggi,” katanya.