Susulan nahas Gopeng
Laporan Sinar semalam
Shaharuddin Abd Aziz
Shaharuddin Abd Aziz
IPOH - “Demi anak-anak, saya perlu kuat dan sabar menghadapi ujian ini,” luah Norsalina Abdul Hamid, 50, balu kepada mangsa kemalangan maut, Shaharuddin Abd Aziz, 51.
Norsalina, 50, berkata, kehilangan suami dalam sekelip mata memberi kesan mendalam terhadap dirinya dan tiga anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, apa yang pasti, rutin kebiasaan menyediakan pakaian kerja arwah, sudah tidak dapat dilakukan lagi.
“Sepatutnya semalam (kelmarin) saya sediakan pakaian dan menghantarnya hingga ke depan pintu. Namun tidak dapat berbuat demikian, hari itu saya tidak berapa sihat,” katanya.

Allahyarham Shaharuddin meninggalkan tiga anak, Mohd Mustaqim, 14; Zawani, 16 dan Mohd Zahim, 18, masing-masing sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi
Gopeng dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh.
Norsalina berkata, sejak kebelakangan ini, arwah suaminya kerap mengadu lenguh serta sakit badan dan dia tidak menyangka arwah pergi dalam sekelip mata.
Anak kedua arwah, Zawani akui tidak dapat tidur lena malam kejadian dan berasa seolah-olah sesuatu tidak baik bakal berlaku.