Suri rumah perdaya jiran
Erni Zuryantie dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Erni Zuryantie Ismail, 24, yang beralamat di Lorong Masjid Raja, Bukit Besar, di sini, mengaku salah mencuri seutas rantai leher emas berloket permata berlian bernilai RM2,500 milik mangsa,
Mariam Muda, 68, di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Mengikut pertuduhan, ketika kejadian di Kampung Banggol Mengabang Telipot, di sini, pada 18 Januari 2011, kira-kira jam 10.20 pagi, mangsa sedang berbual dengan tertuduh yang lebih dikenali dengan panggilan Yati di beranda rumahnya sebelum tiba-tiba diberitahu ada ulat di lehernya.
Tertuduh menawarkan diri membantu membuangnya dan mangsa meminta menggunakan sikat sahaja tetapi tertuduh enggan dan berkeras mahu menggunakan tangannya sahaja sambil mengarahkan mangsa berdiri di tepi pagar rumah.

Warga emas malang itu tidak mengesyaki apa-apa dan hanya mengikut sahaja arahannya walaupun masa yang diambil agak lama iaitu kira-kira 15 minit, sebelum menyedari rantai lehernya tiada.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, di sini dan hasil siasatan rantai berkenaan telah dijual kepada seorang lelaki di Lorong Bandar Kota Baharu, Kelantan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Erni Zuryantie didakwa di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.