Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Keadaan sesak dan padat dalam kenderaan yang dinaiki 18 Pati.
Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dua lelaki tempatan untuk macmbawa 18 warga asing ke Pasar Borong Selayang.
Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Trooper yang membawa 18 pendatang tanpa izin. - ILUSTRASI: AIMA HASHIM
BANDAR RAUB - Cubaan membawa 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disumbat dalam  kenderaan pacuan empat roda jenis Trooper, dipercayai dalam perjalanan ke Selangor untuk bekerja, berjaya dipatahkan polis Raub, semalam.

Kenderaan terbabit yang dinaiki 20 orang termasuk pemandu dan seorang penumpang hadapan warga tempatan dikesan Unit Peronda Polis Raub dekat Jalan Baru Bentong-Raub dalam keadaan mencurigakan, malah pemandu tidak mahu memberhentikan kenderaannya walaupun beberapa kali diarah anggota polis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian pada jam 12 tengah hari semalam mengakibatkan berlaku adegan kejar mengejar antara Unit Peronda Polis Raub dengan kenderaan terbabit.

Menurutnya, berikutan kedegilan pemandu yang tidak mahu memberhentikan kenderaan, satu lagi kenderaan Unit Peronda dihubungi bersama beberapa anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah untuk bantuan.

“Kenderaan itu berjaya ditahan ketika menghampiri sempadan Raub-Bentong dan pemeriksaan serta merta dilakukan mendapati dua lelaki tempatan bersama 18 lagi dipercayai Pati berada di dalamnya.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Raub untuk siasatan lanjut dan kenderaan terbabit turut ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Tiada dokumen diri

Wan Mohd Samsudin berkata, 18 warga asing yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Katanya, kesemua Pati berusia antara 15 hingga 23 tahun itu dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang.

“Mereka ini memulakan perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan dan melepasi beberapa daerah kemudiannya keluar dari negeri Kelantan sebelum berjaya ditahan di daerah ini.

“Difahamkan juga mereka sudah lama tidak menjamah makanan dan ketika ditahan, mereka dalam keadaan kelaparan,” katanya.

Beliau berkata, selepas dibawa ke Balai Polis Raub, kesemua Pati itu diberikan makanan.

Dua lelaki tempatan positif dadah

Siasatan juga mendapati dua lelaki tempatan terlibat mengambil upah daripada individu di negara jiran untuk menghantar 18 Pati itu ke Selangor.

Wan Mohd Samsudin berkata, pemandu Trooper yang berusia 44 tahun turut memiliki tiga biji pil dipercayai beberapa jenis dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, pemeriksaan saringan air kencing juga mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methaphetamine.

“Penumpang di bahagian tempat duduk depan yang juga lelaki tempatan berusia 29 tahun juga positif ujian saringan air kencing dan kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

“Hasil semakan kedua-dua suspek ini turut mempunyai rekod jenayah lampau. Kenderaan yang digunakan pula tidak mempunyai cukai jalan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Katanya, kenderaan digunakan dipercayai milik seorang lelaki yang beralamat di Kuala Lumpur, namun tiada rekod kehilangan kenderaan dilaporkan.

"Dua lelaki tempatan ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 26 (J) kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

"Sementara kesemua 18 Pati disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen kerana memasuki negara ini tanpa sebarang permit atau dokumen perjalanan diri," katanya.