Search This Blog

Friday, November 23, 2012

Sorok dadah bawah tilam, ibu 12 anak ditahan

Sorok dadah bawah tilam, ibu 12 anak ditahanToon Khuan menunjukkan dadah dirampas dalam tangkapan membabitkan dua suspek lelaki dan wanita di Kuantan.
KUANTAN  -  Seorang buruh dan ibu 12 anak ditahan dalam satu tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Selasa lalu.

Dalam tangkapan kira-kira jam 2.40 petang itu, polis berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 111.07 gram bernilai RM2,250 dan heroin seberat 505.1 gram bernilai RM101,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan  berkata,  polis pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di tepi jalan Perkampungan Sungai Isap.

Menurutnya, polis menemui sejumlah dadah jenis ganja dalam genggaman tangan suspek sebelum dibawa ke sebuah rumah di Taman Pandan Damai selepas disoal siasat.

“Berikutan penahanan itu, seorang wanita berusia 39 tahun yang berada di dalam rumah ditahan selepas hasil pemeriksaan menjumpai ganja disorokkan di bawah tilam di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu juga menjumpai beberapa paket dadah jenis heroin diletakkan di dalam siling,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini.

Toon Khuan berkata, polis turut merampas kereta jenis Perodua Viva dipercayai disewa suspek berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah sejak Oktober lalu dan merupakan pengedar di sekitar bandar ini.

“Berdasarkan rekod, wanita terbabit mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan di sini,” katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek lelaki merupakan abang angkat kepada suami suspek wanita tersebut dan ketika ditahan, enam daripada 12 anak wanita itu berada di rumah berkenaan.

Toon Khuan berkata, mereka yang ditahan  kini direman tujuh hari bermula Selasa lalu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment