Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Sindiket seleweng gas tumpas


Mispari Jaafar
Mispari (tengah) menunjukkan sebahagian gas bersubsidi yang dirampas PPDNKK Hulu Selangor.
BATANG KALI - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Hulu Selangor berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas bersubsidi bernilai lebih RM1 juta di sebuah gudang dalam kebun sayur di Batu 30 di sini, malam kelmarin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah PPDNKK, Mispari Jaafar berkata, sindiket yang beroperasi selama lebih enam bulan itu dipercayai menjadikan gudang sayur yang telah diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita menerima aduan orang ramai, adanya sindiket pengalihan gas domestik kepada borong di kawasan ini dan hasil risikan selama lebih dua minggu berjaya mematahkan kegiatan haram itu.
“Siasatan mendapati sindiket ini menggunakan kaedah pengalihan terus gas petroleum cecair (LPG) melalui tong gas domestik seberat 14 kilogram (kg) sama ada ke dalam tong gas 50 kg atau terus ke lori tangki yang mampu memuatkan 15 tan gas sebelum dijual kepada pihak industri pada harga industri,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sindiket tersebut mampu mengalih dan menjual kandungan 3,000 tong gas bersubsidi dalam sehari menggunakan lori tangki yang boleh memuatkan 15 tan gas untuk satu masa.
Katanya, kegiatan itu jelas merugikan kerajaan kerana gas bersubsidi sepatutnya digunakan suri rumah beralih kepada pihak industri yang sepatutnya menerima harga berlainan.
“Kita merampas sejumlah 2,103 tong gas domestik bersama sebuah treler dan lori tangki yang sarat dengan muatan 15 tan gas dipindahkan.
“Ketika serbuan dibuat, terdapat enam pekerja tempatan dan warga asing sibuk melakukan pengalihan gas dan kesemuanya ditahan dan pemilik sindiket ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Menurutnya, jika pemilik sindiket perseorangan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang telah ditumpaskan PPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPDNKKWPKL) pada Mei lalu di sebuah dusun di Lembah Genting dekat sini.
Pada 23 Mei lalu, PPDNKKWPKL menumpaskan sindiket penyelewengan gas bersubsidi hampir RM1 juta di kawasan tersebut yang beroperasi hampir setahun.
Hampir 2,000 tong gas berjenama kurang laris, treler dan lori tangki turut dirampas dalam serbuan itu.

No comments:

Post a Comment