Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Sindiket pelacur terancang


TERDAPAT satu gerakan jenayah secara terancang dilakukan sindiket pelacuran yang diaturkan pendatang asing tanpa izin untuk merencanakan aktiviti persundalan mereka di Malaysia.
Perkara itu didedahkan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

“Sistem kawalan Pusat Pertukaran Pekerja Binaan dapat menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang diketahui mereka secara nyata masuk dalam radar kita.
“Adakah kerajaan akan menambah pusat kawalan ini kerana apa yang saya melihat ada gerakan seperti jenayah terancang yang mengaturkan pergerakan pendatang asing tanpa izin ini? “Pada peringkat awalnya mereka akan bertindak sebagai pelancong dan kemudiannya sengaja merencana supaya menstrukturkan kegiatan persundalan ini,” katanya.

Menjawab soalan berkenaan, Abu Seman berkata, sehubungan kawalan berkaitan kes membabitkan pelancongan ini, biasanya penguatkuasaan akan dilakukan di pintu masuk negara yang dikenal pasti kerap kali digunakan untuk masuk ke negara ini.

“Mereka yang disyaki kerap melakukan aktiviti seperti ini akan diekori dan jika benar berlaku kegiatan dimaksudkan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Abu Seman berkata, memang benar tidak semua yang terbabit dalam aktiviti pelacuran melakukannya secara sukarela, sebaliknya ada yang menjadi mangsa sindiket dengan menawarkan gaji lumayan untuk bekerja di negara ini.

“Dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan ia dijalankan Unit Antipemerdagangan Orang bertujuan menyelamatkan mangsa pelacuran diperdagangkan mana-mana orang.
“Dalam tempoh Ogos 2008 hingga 31 Oktober ini, KDN sudah mengambil tindakan terhadap 1,647 warga asing dan menyelamatkan mereka kerana disyaki menjadi mangsa pelacuran. Daripada jumlah itu, 569 disah mangsa kegiatan persundalan,” katanya.

Katanya, mereka yang menjadi mangsa ditempatkan di rumah perlindungan di bawah Perintah Perlindungan.

“Selain itu, 460 tangkapan dibuat terhadap mereka yang terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

No comments:

Post a Comment