Sindiket jual anak pokok sawit
Ladang sawit ini dipercayai diusahakan warga asing sejak tiga tahun lalu.
ROMPIN – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin diminta menyiasat kemungkinan terdapat masyarakat Orang Asli, di sini, menjual anak pokok kelapa sawit kepada warga asing.

Penduduk, Ali Gentik, 48, berkata, kemungkinan terdapat sindiket menjual anak pokok sawit secara besar-besaran kepada warga asing.

Menurutnya, bantuan diberikan kerajaan itu seharusnya memberi faedah jangka masa panjang dan sikap sesetengah penduduk mahu mengaut keuntungan dalam masa singkat amat dikesali.

“PDT perlu menyiasat hal ini kerana terdapat sesetengah Orang Asli di sini sanggup menjual semula anak pokok sawit kepada pihak tidak sepatutnya,” katanya.

Ali Gentik berkata, penduduk juga sanggup menyewakan tanah kepada warga asing untuk penanaman sawit, malah kegiatan itu semakin berleluasa sejak tiga tahun lalu.

“Kebanyakan tanah di sini sudah diterokai warga asing dengan tanaman sawit. Kita harap PDT dapat memantau keadaan ini seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Sehingga kini katanya, kira-kira 20 hektar tanah berhampiran kampung itu ‘dimonopoli’ warga asing dan tindakan seterusnya perlu diambil untuk mengelakkan kegiatan tersebut terus bermaharajalela.

“Kita tidak mahu usaha kerajaan membangunkan masyarakat Orang Asli disalahgunakan. Kita harap agensi berkaitan dapat memantau dan membantu supaya mereka berupaya menanam serta menghasilkan kelapa sawit sendiri,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penduduk masih menjalankan aktiviti pertanian sara hidup di samping mengutip biji kelapa sawit dengan syarikat ladang swasta.

“Pendapatan bulanan kami masih berada di bawah tahap miskin tegar. Oleh itu, kerajaan melalui agensi berkaitan perlu membantu kami keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, PDT sudah memberi notis supaya masyarakat Orang Asli terbabit tidak melakukan pencerobohan tanah kerajaan untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas.

"Bagaimanapun, permohonan Rancangan Tanah Kelompok ini berada dalam tindakan PDT Rompin," katanya.