Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Siasatan tahanan dibelasah selesai hujung minggu ini


KUCHING: Polis memberi jaminan siasatan berhubung seorang tahanan yang koma dipercayai akibat dibelasah Ahad lalu oleh dua pegawai polis ketika soal siasat kerana disyaki merompak serta membelasah dua pegawai berkenaan, dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad meminta orang ramai bersabar dan tidak membuat spekulasi kerana siasatan masih dijalankan.

“Arahan dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani (Abdullah Sani) yang mahukan kes ini diselesaikan secepat mungkin iaitu pada hujung minggu ini dan kami kini dalam proses melengkapkan siasatan,” katanya ditemui pada Program Polis Bersama Pelanggan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di pekarangan Sarawak Plaza di sini, semalam.
Roslan berkata, suspek yang juga penagih dadah itu masih belum sedarkan diri di di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kejadian itu berlaku bukan dalam lokap sebaliknya dalam bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ketika proses pengecaman suspek dijalankan,” katanya. Menurut Roslan, kedua-dua inspektor yang berusia 30 dan 32 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman mereka berakhir semalam.

Dalam kejadian itu, seorang tahanan kes serangan yang mencederakan dua pegawai polis di hadapan sebuah pusat hiburan di Padungan, Jumaat lalu, koma dipercayai dipukul ketika soal siasat.

No comments:

Post a Comment