Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Sempat lari 100 meter



         
KUALA LUMPUR: Anak bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan Wan Mohd Najib Wan Mohamad cedera parah apabila ditetak dengan parang ketika di sebuah restoran di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Najib, 24, diserang empat lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana yang meluru masuk ke restoran berkenaan.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa yang menguruskan perniagaan syarikat menjual kereta di Batu 5 1/2, Jalan Cheras di percayai tidak menyedari kehadiran empat lelaki terbabit dari arah belakangnya.

“Mangsa ditetak dua kali di lengan kiri dan satu tetakan di belakang badannya. Mangsa berjaya melarikan diri namun rebah kira-kira 100 meter dari restoran itu.


“Dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi semalam.


Siasatan awal mendapati suspek menaiki kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan motif serangan masih lagi dalam siasatan.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan polis kini sedang memburu empat suspek itu yang dipercayai rakyat tempatan.

No comments:

Post a Comment