Mohd Yusof Hashim
Kamalludin (kanan) menyoal seorang warga asing yang ditahan ketika dibawa ke Pejabat Imigresen negeri di Ayer Keroh, semalam.
AYER KEROH - Sepasang kekasih sanggup berkurung dalam tandas sebaik saja menyedari rumahnya didatangi sepasukan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka (JIM), di Malim, dekat sini malam kelmarin.
Pasangan warga Indonesia berusia 25 dan 24 tahun itu berbuat demikian kerana takut dicekup kerana tinggal di negera ini melebihi tempoh dibenarkan.
Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, anggota penguatkuasa terpaksa bertindak memecahkan pintu rumah selepas ia gagal dibuka, meskipun sudah diketuk selama lebih lima minit.
“Sebaik pintu dipecahkan, kelihatan tiga penghuninya sedang leka memasak di dapur. Manakala pemeriksaan dijalankan anggota kami menemui pasangan berkenaan yang sedang menyorok di dalam tandas rumah berkenaan," katanya.
Beliau berkata, tiga lagi penghuni rumah berkenaan mempunyai permit kerja yang sah, manakala pasangan terbabit terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi yang dikenali sebagai Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di sekitar negeri bermula 9 malam kelmarin, dan berakhir kira-kira enam jam selepas itu.
Operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Salmah Omar dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen, Mohd Yusof Hashim bersama 13 anggota penguatkuasa sekitar kawasan Bukit Beruang, Malim dan Taman Melaka Raya.
"Seramai 27 orang lagi ditahan, selain tinggal lebih masa, kebanyakan mereka ditahan atas kesalahan masuk tanpa permit sah dan melanggar syarat permit atau pas sempadan.
“Mereka terdiri daripada warga Vietnam, China, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, India dan Thailand,” katanya.