sarang maksiat
Anggota polis terpaksa memecahkan mangga pintu kediaman terbabit selepas tiada respons daripada penghuninya.
sarang maksiat
Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui banyak kondom disimpan dalam rumah terbabit.
BANDAR BARU KLANG - Dua apartmen dipercayai menjadi sarang pelacuran di sini diserbu dalam Ops Noda yang diketuai Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang, Inspektor Ahmad Adnan bersama lapan anggotanya, semalam.

Ahmad berkata, serbuan pada kira-kira jam 6.30 petang itu dibuat berdasarkan maklumat diperoleh daripada penduduk setempat yang curiga dengan aktiviti dijalankan di kediaman terbabit.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat bahawa individu tidak dikenali yang dipercayai ingin mendapatkan perkhidmatan seks ditawarkan di kedua-dua rumah tersebut sering berlegar-legar di situ.

"Penduduk yang tidak senang dengan keadaan tersebut melaporkan kepada pihak polis dan susulan aduan kita menyerbu rumah dimaksudkan," katanya ketika ditemui, semalam.

Ahmad berkata, bagaimanapun individu-individu terbabit seperti dapat menghidu kehadiran pihak polis apabila kedua-dua kediaman yang diserbu didapati tiada penghuni.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemui beberapa alatan seks, kondom dan pakaian seksi.
Beliau berkata, kegiatan tidak bermoral itu dipercayai didalangi warga Indonesia dan China.

"Kami diberitahu oleh penduduk di sini bahawa penghuni rumah terbabit baru sahaja berpindah ke sini dan ada menawarkan khidmat urutan.

"Kami masih meneruskan siasatan berhubung kegiatan ini dan operasi sebegini akan kerap dijalankan daripada semasa ke semasa," katanya.