Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Sandy bawa kemusnahan besar




NEW YORK 31 Okt. - Berjuta-juta penduduk di sepanjang pantai timur laut Amerika Syarikat (AS) yang terjejas teruk akibat Taufan Sandy, masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa hari ini ketika perniagaan dan lapangan terbang dibuka semula.
Dengan baki lagi enam hari sebelum Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini, Presiden Barack Obama dijangka melawat New Jersey, negeri pertama dibadai taufan gergasi itu kelmarin.
Pesaingnya, Mitt Romney dari Parti Republikan pula kembali meneruskan kempen selepas membatalkan beberapa acara sejak Isnin lalu bagi memberi keutamaan kepada kerja-kerja menyelamat.
Sandy yang sehingga kini telah mengorbankan 46 nyawa di seluruh negara, bergerak ke kawasan pedalaman dan mengakibatkan salji tebal di pergunungan Appalachia.
Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan, taufan mega itu yang bergerak lemah merentasi Pennsylvania, diramal menuju utara ke barat New York dan Kanada.
Amaran ribut salji dan banjir di kawasan pantai di Great Lakes juga telah dikuatkuasakan.
Bandar raya New York yang lumpuh akibat Sandy, hari ini masih ditenggelami air sedalam kira-kira 4.2 meter, sementara di Staten Island, polis terpaksa menyelamatkan mangsa yang terperangkap di atas bumbung menggunakan helikopter.
Hampir keseluruhan jalan utama dan landasan kereta api bawah tanah di New York juga ditenggelami air menyebabkan sistem pengangkutan tergendala, manakala lebih lapan juta kediaman dan premis perniagaan dari Carolina sehingga ke Maine masih terputus bekalan elektrik.
Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg berkata, memulihkan sistem pengangkutan dan mengembalikan bekalan elektrik merupakan dua cabaran terbesar pihaknya bagi tempoh beberapa hari akan datang.
“Kita akan bangkit semula selepas ini dan berharap bencana ini berakhir," katanya.
Dua lapangan terbang utama di sini, Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy kembali dibuka hari ini, namun hanya meneruskan beberapa operasi terhad, manakala Lapangan Terbang LaGuardia masih ditutup. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_01/Sandy-bawa-kemusnahan-besar#ixzz2AyLKNRD0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment