Samun mangsa guna pisau
Remaja terbabit diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu jaminan ke atasnya selepas dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
KUANTAN - Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki menggunakan sebilah pisau buatan sendiri dalam kejadian samun di Jalan Kampung Chendor, dekat sini, 27 Julai lalu.
Tertuduh berusia 18 tahun dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Shafinaz Shabudin di hadapan Hakim, Fathiyah Idris.
Remaja terbabit yang tidak diwakili peguam didakwa bersama seorang rakannya yang masih bebas melakukan samun terhadap mangsa berusia 25 tahun dengan merampas wang tunai sebanyak RM200.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, rakannya didapati menggunakan sebilah pisau buatan sendiri berukuran 32 sentimeter untuk mengugut mangsa.
Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis, manakala remaja terbabit bersama rakannya menghilangkan diri sebelum berjaya diberkas polis 2 November lalu dan dihadapkan ke mahkamah, semalam.
Bagi kesalahannya itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Remaja terbabit yang mengaku memahami pertuduhan dibacakan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala 10 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes berkenaan.
Ketika memberitahu mahkamah semalam, tertuduh memaklumkan ibunya akan menjelaskan jaminan tersebut, bagaimanapun tiada seorang pun ahli keluarganya yang tampil berbuat demikian.
Dalam rayuannya berhubung jumlah jaminan sebelum itu, tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan.
Dia juga cuba meraih simpati mahkamah, memaklumkan ibunya sakit manakala bapanya sudah tiada lagi.