Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Remaja ‘mekanik’ kebas motosikal


KUALA LUMPUR: Mekanik penyamun. Itu ungkapan sesuai menggambarkan tindakan empat remaja termasuk seorang perempuan yang gemar melarikan motosikal di Lebuhraya Akleh selepas berpura-pura menghulur bantuan dan mendakwa kononnya pakar baik pulih motosikal kepada penunggang yang mengalami kerosakan kenderaan itu sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, tiga remaja lelaki berusia 17 tahun bersama remaja perempuan berusia 15 tahun itu memancing mangsa dengan menyatakan mereka mekanik dan mangsa terakhir mereka seorang pengawal keselamatan yang kehilangan motosikalnya pada 3 Ogos lalu. Bagaimanapun, taktik kumpulan remaja itu terbongkar selepas motosikal milik mangsa jenis Mofaz Ritz RU110 dapat dijejaki anggota Unit Kuat kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), semalam.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, sepasukan anggotanya menjalankan tugas ‘snap check’ di Dataran Merdeka menemui sekumpulan remaja dalam keadaan mencurigakan melepak di kawasan itu.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kumpulan remaja itu mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu sah manakala nombor enjin motosikal jenis Mofaz Ritz dinaiki dua remaja lelaki dalam kumpulan itu masih dilaporkan hilang.

“Untuk pemeriksaan lanjut, dua remaja lelaki berusia 17 tahun itu termasuk penunggangnya rakyat Myanmar dan memiliki kad UNHCR dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bersama motosikal mereka.

“Pemeriksaan mendapati motosikal itu milik seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang 3 Ogos lalu di Lebuhraya Akleh selepas tertipu dengan sekumpulan remaja yang menyamar mekanik,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, selepas kedua-dua remaja itu disoal siasat mereka mengakui adalah kumpulan remaja yang melarikan motosikal itu selepas mengaku sebagai mekanik.

Pembonceng motosikal turut mengaku pernah ditahan atas kesalahan sama Mac tahun lalu dan kes masih dibicara di mahkamah.
Katanya, dua lagi rakan jenayah mereka termasuk remaja perempuan itu kini berada di luar negara.

No comments:

Post a Comment