Ragut rantai kanak-kanak: Penganggur berdepan penjara 20 tahun
Tertuduh diiringi dua anggota keluar dari lokap menuju ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Angkara meragut rantai dipakai kanak-kanak berusia dua tahun, bulan lalu, seorang penganggur berdepan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mohd Suhaidee Husain, 33, dari Lorong Iman, Lundang di sini dituduh melakukan jenayah itu di sebuah pasar raya di Kubang Kerian di sini pada 19 Oktober.

Selain tuduhan rompak, dia turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher mangsa ketika kejadian jam 5.25 petang itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Kes bersambung 16 Disember depan.